Sunday, August 9, 2015

Hikmah Bedah


Pengalaman Allah berikan ujian sakit, mengajar aku tentang kasih sayang, menghargai orang-orang di sekeliling (terutamanya keluarga dan akhawat), dan bersyukur dengan peluang kehidupan yang Allah berikan! 

Rahman dan Rahim nya Mu, Ya Allah! 
------------

2009

Tengahari itu, umi membawa aku ke Hospital. Aku dibawa berjumpa Doktor Pakar OnG. Setelah Doktor membuat pemeriksaan, Doktor memaklumkan pada aku dan umi, bahawa cyst aku sudah pecah, dan pembedahan perlu dibuat pada hari ini juga, bagi mengelakkan sebarang komplikasi yang lebih teruk.

Aku turun ke bawah bersama umi bagi pembayaran deposit masuk ke wad. Umi di receptionist, aku tersandar di sofa, menahan sakit.

"umi lambat lagi ke?"

"jap jap. tunggu abi. kalau denyut sakit tu datang, istighfar banyak-banyak."

(T.T)

Setelah urusan pembayaran deposit selesai, aku dihantar ke atas semula menggunakan kerusi roda. dan diminta bersiap sebelum masuk ke Bilik Pembedahan (Operation Theater).

Setelah aku menukar pakaian pembedahan berwarna hijau, aku perlu menandatangani dokumen pembedahan dan suntikan bius. 

"adik ada alergic ubat apa-apa?" tanya kakak Jururawat.

Aku menggeleng tidak tahu. 

"nanti adik baring atas katil ni ya. kejap lagi akak akan tolak adik ke Bilik Pembedahan"

Aku mengangguk lemah. Ketika itu, jam sudah menunjukkan pukul 3 petang (lebih kurang). 

Dalam keadaan terpinga-pinga apa yang akan terjadi, aku menangis. 

Takut. Resah. Semua perasaan bercampur baur.

Aku takut tidak sempat untuk bertaubat pada Allah atas dosa-dosa besar dan kecil yang telah aku lakukan.

Aku takut tidak sempat untuk meminta maaf pada umi abi atas ketidaksolehan aku sebagai anak mereka.

Aku takut tidak sempat untuk menjadi orang baik dan soleh.

Sehingga takdir aku di padang mahsyar kelak menjadi ahli neraka.

Aku takut.

(T.T)

Suhu di dalam bilik Bilik Pembedahan sangat sejuk, sehinga membuatkan badanku sedikit menggigil. 

Doktor datang, dan bertanya, 

"Adik ok? Doktor nak cucuk ubat bius ya. Adik tahan sikit"

Ketika ubat bius disuntik, dadaku mula terasa sakit, tangan aku mula merasa kebas, dan mataku terasa berat. Lama kelamaan aku terlelap. 

Sepanjang ketidak sedaran aku di dalam Bilik Pembedahan, aku tidak dapat mengingat semula apa yang (so called) roh aku lakukan, cuma aku dapat merasakan yang aku gembira aku dapat berjalan-jalan. Tapi aku tidak tahu aku berjalan kemana.

Disebabkan kegembiraan itu, aku tidak mahu membuka mata, aku tidak mahu sedar, aku tidak mahu kembali ke alam realiti, sehinggalah aku merasakan perit di pipi. Rupanya, kakak Jururawat sudah beberapa kali menampar pipi dan memanggil nama aku, 

"adik, adik bangun."
"adik, adik bangun."

Aku buka mata. 

Kabur. 

Tidak Jelas.

"Patience dah sedar, boleh tolak masuk ke bilik wad", aku dengar Doktor berkata pada Jururawat. 

Keluar sahaja daripada Bilik Pembedahan, aku masih mamai mamai. Aku nampak kelibat umi dan abi di kerusi luar di Bilik Pembedahan.

Sesampainya di wad, aku toleh ke tingkap, melihat langit yang sudah gelap. 

Aku bertanya pada umi, "umi sekarang pukul berapa?" 

Umi jawab, "pukul 7.30 malam long." 

(Maksudnya aku didalam Operation Theater selama 4 jam setengah. Lamanya!) 

Umi tanya aku semula, "Along ok?" 

Aku nangis. 

"Umi, sakit. Umi, sakit. Umi, sakit." 

Banyak kali juga aku sebut sampai aku tertidur semula.

Aku terjaga sekejap apabila umi menepuk bahu aku, 
"along, umi abi balik dulu. Nak uruskan pulak adik-adik di rumah." 

Aku mengangguk dan tertidur semula. Aku kira ubat bius yang diberikan sangat kuat. Sehingga aku hanya boleh mendengar, dan mata aku terasa amat berat untuk dibuka.

Aku terjaga pada pukul 5 pagi. 

Tekak terasa mual. 

Bilik gelap. 

Tiada orang di sisi.

Lagi sekali aku merasa takut. 
Takut kerana aku bersendiri. 
Takut kerana pastilah begini rasanya nanti di alam kubur.

Bagaimanakah pengakhiran aku?
Bagaimanakah keadaan aku di dalam kubur nanti?
Menggigil juga kah aku ketika menjawab soalan Mungkar dan Nankir?
Apakah amalan amalan aku dapat menyelamatkan aku?

Aku menangis pagi tu semahu-mahunya.

Menangis kerana menyedari bahawa hikmah bedah yang Allah berikan ini, sebenarnya membawa aku semula pada cinta Dia.

-------------


Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
3:135

--------

Hanya kita sendiri yang tahu apa dosa kita dengan Allah. 
Kembalilah ke jalanNya yang satu.
Ketika Allah masih memberikan peluang.

No comments: